Saturday, November 03, 2007

INFO KESIHATAN: Resdung

ADAKAH hidung anda sering gatal-gatal, kerap bersin, berhingus dan berkahak terutama pada waktu pagi serta mata sering berair? Jika ya, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan rapi kerana anda mungkin menghadapi masalah resdung atau sinusitis. Walaupun ia boleh dirawat, pengesanan penyakit pada peringkat awal akan memudahkan lagi proses pengubatan.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr. Isa Rejab berkata, masalah resdung berpunca daripada alahan terhadap habuk, kutu dan pijat atau makanan tertentu. Katanya, kegagalan merawat alahan itu akan membawa kepada gejala resdung dan penyakit-penyakit yang lebih merbahaya di dalam rongga sinus. Resdung bukan penyakit tetapi gejala penyakit yang mesti diselidiki dengan tepat untuk mengetahui penyebab bagi rawatan yang sepatutnya.

Berdasarkan ujian ke atas daging yang dikeluarkan daripada rongga sinus beberapa pesakit resdung, ada yang disahkan penyakit TB, kanser, kulat, virus dan bakteria,''katanya semasa menyampaikan ceramah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurut beliau, apabila seseorang mengalami alahan, daging yang bertindak sebagai penapis udara di dalam hidung akan membengkak. Katanya, daging atau dinding luar dan dalam hidung yang bengkak akan menyebabkan pergerakan udara serta pengeluaran cecair tidak berlaku secara normal. Malah, jangkitan resdung boleh merebak ke bahagian otak dan mata yang akhirnya menyebabkan seseorang menjadi buta.

Untuk mengesan pesakit resdung, kaedah endoskopi digunakan yang mana tiub kecil dan sumber cahaya akan dimasukkan ke dalam lubang hidung sehingga ke rongga sinus. Ia membolehkan pemeriksaan yang lebih teliti dijalankan bagi mengetahui apa sebenarnya yang terdapat di dalam rongga sehingga membawa kepada gejala resdung. Jika hingus di dalam ruang sinus sudah menjadi pekat dan basi, tiub akan dimasukkan untuk mencuci dan menyedutnya keluar. Pada peringkat yang lebih serius, pembedahan kecil terpaksa dilakukan yang mana bibir atas di potong untuk keluarkan daging yang tersumbat di dalam sinus,'' katanya.

Tambah Dr. Isa, bahan yang dikeluarkan daripada ruang sinus akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, kata Dr. Isa, sebanyak 90 peratus daripada alahan ini pula disebabkan apa yang ada di rumah seperti di bawah selimut, bantal, tilam dan binatang peliharaan. Di samping itu, katanya, sesetengah orang pula alah pada bedak herba, ubat-ubatan, buah-buahan seperti nanas, epal, tomato, badam dan lain-lain. Bagaimanapun, katanya resdung tidak berjangkit kepada orang lain melalui bersin serta tidak diwarisi daripada ayah atau ibu kepada anak. Tetapi, masalah alahan boleh diwarisi secara genetik dan membawa kepada resdung apabila ia tidak dirawat dengan betul.


Untuk mengatasi masalah alahan, amalkan petua berikut:
1. Elakkan membela binatang berbulu dalam rumah seperti kucing, arnab dan anjing.
2. Elakkan menggunakan kain selimut yang dibuat daripada bulu binatang, sebaliknya, gunakan selimut yang diperbuat daripada bahan-bahan sintetik (tiruan).
3. Elakkan menggunakan tilam dan bantal yang dibuat daripada bulu binatang. Selalu basuh sarung tilam/bantal dengan air panas untuk membunuh pijat/serangga dan membuang habuk sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
4. Gunakan pembersih hampa gas yang baik dan mempunyai penapis yang baik
5. Kurangkan penggunaan permaidani dan set sofa yang dibuat daripada barang-barang kain atau bulu.
6. Berhati-hari bagi pengguna katil di tingkat bawah kerana anda akan menyedut segala habuk dari tilam di atas.
7. Selalu basuh barang permainan yang lembut.
8. Simpan pakaian di dalam almari yang tertutup.
9. Elakkan penggunaan tirai langsir yang berat dan banyak kain.
10. Selalu cuci kalau menggunakan penapis nyamuk pada tingkap.
11. Gunakan kain yang lembap untuk mengelap barangan alat perkakas rumah.
12. Amalkan menggunakan penutup hidung semasa mengemas rumah/perabot.
13. Elakkan memakan makanan yang ada alah padanya.

2 comments:

Normazila Ahmad said...

tips yang menarik..great sharing

Normazila Ahmad said...

terbaikk2