SEKALIPUN terpaksa  menghadiri mesyuarat penting atau memandu untuk jarak yang jauh, menahan  air kencing bukanlah satu tindakan yang bijak. Air yang ditahan itu  hakikatnya kotoran beracun yang perlu dikeluarkan daripada badan. 
 
Menurut  Pakar Urologi, Kesihatan Lelaki dan Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince  Court, Datuk Dr. Sahabudin Raja Mohamed, menahan diri daripada membuang air  kecil akan memberi kesan negatif kepada kesihatan. 
 
Namun, perkara itu  mempunyai kesan yang berbeza mengikut jantina dan usia.
“Kanak-kanak yang  menahan kencing terlalu lama boleh menyebabkan masalah besar. Tidak kira lelaki  mahupun perempuan, ia boleh meningkatkan kejadian jangkitan saluran  kencing.
“Dalam  kes yang lebih buruk, ia akan mengakibatkan inkontinens iaitumasalah  hilang kawalan untuk menahan kencing,” kata Sahabudin. 
 
Masalah  itu menyebabkan penghidap tidak mampu menahan kencing daripada terkeluar sendiri  terutamanya ketika batuk, bersin atau meneran. 
 
Seseorang juga sukar  untuk menahan kencing sehingga dia boleh terkencing di mana-mana sahaja sebelum  sempat pergi ke tandas. 
 
Antara  tanda-tanda seseorang itu mendapat masalah inkontinens adalah sering berasa  tidak puas ketika membuang air kecil atau aliran air kencing yang lemah. 
 
Masalah  itu boleh terjadi kepada mereka yang mengalami kerosakan ginjal, uretra yang  tersumbat ataupun kerosakan saraf akibat diabetes. 
 
Dalam  pada itu, Sahabudin menjelaskan, membuang air kecil sebanyak di antara lima  hingga enam kali sehari merupakan situasi yang normal. 
 
Namun,  mereka yang membuang air kecil melebihi lapan   kali sehari menunjukkan keadaan yang  sebaliknya. 
 
“Kencing  kurang daripada lapan kali sehari merupakan keadaan yang normal. Urin mereka  akan berwarna jernih seperti air paip,” ujarnya. 

Pundi kencing yang  berfungsi secara normal ditunjukkan apabila seseorang membuang air kecil dalam  tempoh tiga hingga empat jam sekali iaitu tidak lebih lapan kali  sehari.
Mereka yang normal  akan membuang air kecil hanya sekali pada waktu malam.
Jelas Sahabudin lagi,  mengurangkan minum air masak bagi mengelakkan seseorang itu kerap ke tandas  adalah satu tindakan yang salah.
Mereka tidak  seharusnya mengurangkan pengambilan air kerana bahan tersebut penting kepada  tubuh bagi mengelakkan dehidrasi.
“Jangan mengurangkan  kuantiti air yang diminum. Sebaliknya pergilah berjumpa dengan doktor untuk  mengatasi masalah itu.
“Jika terdapat  jangkitan, pesakit perlu dirawat terutamanya mereka yang mengalami pundi kencing  terlalu aktif,” katanya lagi.
Antara tanda kencing  terlalu aktif adalah sukar menahan kencing, kencing tidak puas, pergi ke tandas  melebihi 10 kali sehari dan berlaku kebocoran jika  menahannya.
Masalah ini boleh  terjadi lebih kerap dalam kalangan wanita muda. Seseorang yang menghadapi  masalah ini akan membuang air lebih daripada 10 kali sehari serta tidak dapat  menahan kencing.
Antara kaedah yang  boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu adalah senaman otot untuk mengawal  kencing, latihan pundi kencing dan penggunaan ubatan.
Jelas Sahabudin,  masalah tersebut sering berlaku akibat kesibukan kerja yang mengundang masalah  malas ke tandas selain ketiadaan kemudahan tandas yang  bersih.
Sementara itu,  melakukan aktiviti seperti memandu sambil menahan air kencing boleh mengundang  bahaya. Perbuatan menahan kencing didapati mempunyai kesan yang sama dengan  keracunan alkohol atau tidak tidur selama 24 jam secara  berterusan.
“Apabila manusia  sampai kepada titik kesakitan, mereka tidak mampu berfikir dan membuat keputusan  lagi. Ia sama seperti mabuk,” kata profesor neurologi di Universiti Brown di  Providence , Pulau Rhode, Amerika Syarikat (AS), Peter  Snyder.
Kajian Synder bersama  kumpulan penyelidiknya itu memenangi kategori perubatan anugerah Ig Nobel  anjuran majalah Annals of Improbable Research (AIR) di AS baru-baru ini. Ig  Nobel memberikan anugerah untuk pelbagai kajian yang dianggap melucukan tetapi  kemudian membuatkan orang mula berfikir.